Pages

Saturday, April 3, 2010

Mencari Islam di China

Mencari Islam di China
Penulis: Ann Wan Seng
Terbitan: Must Read Sdn Bhd
Harga: RM23.00

Negara China sering kali dikagumi sebagai sebuah negara yang kaya dengan tradisi tamadun dan peradaban yang tinggi. ­Negara itu mempunyai sejarah yang cukup panjang dan gemilang. Namun begitu, ramai yang tidak menyedari bahawa umat Islam turut juga memberikan sumbangan dan memainkan peranan yang penting di sebalik kejayaan dan pencapaian China sebagai sebuah empayar yang dihormati dan digeruni selama berabad-abad lamanya. Kehadiran Islam di China dikesan sejak abad ke 7 lagi dengan kehadiran beberapa orang sahabat Nabi yang diutus untuk menyampaikan risalah Islam ke negara yang terkenal dengan tembok besarnya. Malahan sebelum kedatangan Islam, penduduk China sudah pun menjalinkan hubungan yang cukup rapat dengan para pedagang Arab.

Hasil dan kesan daripada hubungan itu masih dapat dilihat sehingga ke hari ini dengan kemunculan pelbagai kumpulan etnik yang unik dan memiliki hubungan darah dengan kelompok bangsa dari negara lain. Begitu juga dengan tinggalan dan warisan Islam masih dipertahankan oleh penduduk Islam di China. Selain daripada cara hidup yang berlandaskan kepada al-Quran dan sunah, bukti kegemilangan Islam di China dimanifestasikan melalui berbagai-bagai monumen seperti masjid, makam para sahabat dan ulama, madrasah serta berbagai-bagai lagi ciptaan sama ada dalam bidang kesenian, kebudayaan, kesusasteraan, penulisan, sejarah dan sebagainya.

Buku ini bukan sekadar berusaha untuk menjejaki semula tapak-tapak Islam di China tetapi juga memberikan gambaran kepada kita semua tentang potensi yang ada pada negara itu untuk menjadi medan dan wasilah kepada kebangkitan semula Islam pada akhir zaman. Pencarian Islam di China adalah sejajar dengan sebuah hadis nabi yang bermaksud bahawa Islam akan bangkit semula dari arah sebelah Timur.

No comments:

Post a Comment