Pages

Tuesday, February 22, 2011

Khutbah Rasulullah: Wasiat Agung Buat Umat Tercinta

Khutbah Rasulullah: Wasiat Agung Buat Umat Tercinta
Penulis: Rohidzir Rais
Terbitan: PTS
Harga: RM19.00

Muhammad bin Abdullah adalah manusia biasa yang diberikan tanggungjawab luar biasa. Sebagai perantara atau rasul di antara Tuhan kepada hamba-hambaNya, Rasulullah perlu menyampaikan semua peringatan, pesanan dan arahan Allah kepada umatnya. Justeru, sudah tentu Rasulullah perlu melibatkan diri di tengah masyarakat dan menunjukkan teladan yang baik kepada mereka. Tidak hanya mengendalikan urusan langit dan agama, Rasulullah mengatur urusan kenegaraan, menyiapkan ketenteraan bagi menghadapi musuh, menyelesaikan kemelut dan konflik dalam negara, malah mendamaikan sengketa keluarga.

Prihatin dengan permasalahan umatnya, Rasulullah tidak hanya berkhutbah di atas mimbar di majlis rasmi seperti pemimpin lain. Beliau menyampaikan pesanan dan teguran di medan peperangan, di pasar, di kebun, di tepi jalan, malah ketika berada di atas belakang unta.

Sewajarnya kita mencemburui para sahabat yang berpeluang mendengar nasihat dan kata-kata indah daripada Rasulullah. Ibarat titisan embun yang menyegarkan jiwa, membangkitkan rohani. Besarnya impak kata-kata Rasulullah dapat dilihat pada emosi sahabat yang terusik hingga menitiskan air mata, merintih kekesalan. Malah musuh yang mahu membunuhnya juga terkesima hingga melepaskan pedangnya.

Alangkah indahnya jika ucapan dan pidato Rasul mulia ini dapat kita tatap kembali bagi mengisi rongga hati kita yang lompong. Justeru, buku ini disusun dengan menghimpunkan pidato, syarahan dan teguranRasulullah kepada sahabat-sahabatnya. Bagi memudahkan pembaca umum, buku ini disusun mengikut bab tertentu, seperti akidah, akhirat, kematian, syurga dan neraka, pemimpin dan kepimpinan serta wasiat yang ditujukan khusus kepada sahabat-sahabat tertentu.

Walau pun tidak mendengar dari lidah suci Rasulullah sendiri, sekurang-kurangnya pembaca dapat memanfaatkan inti sari khutbahnya dalam kehidupan seharian.

No comments:

Post a Comment