Pages

Thursday, August 4, 2011

Tatkala Syahadah Dilafaz

Tatkala Syahadah Dilafaz
Penulis: Amat Juhari Muain, Ann Wan Seng
Terbitan: Must Read
Harga: RM12.90

Kalimah syahadah adalah kalimah penyaksian yang suci. Kita sering mengungkapkannya di dalam solat dan ibadah-ibadah seharian namun tidak mengamalkannya. Secara hakikat, kalimah syahadah ini mempunyai tuntutan yang perlu dipenuhi bagi setiap penuturnya. Dua kalimah yang saling kait mengait, saling mempunyai kesinambungan dan yang paling penting ialah kalimah yang tidak boleh dipisahkan.

Kita sering dengar makna dua kalimah syahadah ini sama ada melalui azan, tahiyat awal dan akhir. Ia sebenarnya mempunyai pengertian yang mendalam dan cukup berat. Kalimah “Asyhadu” pada dua kalimah ini biasa dimaknakan dengan “Aku bersaksi” atau “Aku naik saksi”, kita pun kekadang tidak mengetahui makna tersurat dan tersirat di sebaliknya namum ia sebenarnya adalah kalimah yang begitu tinggi.

Kalimah “Asyhadu” bermaksud “Sekiranya Engkau (Allah) ingin saksi di kalangan manusia bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Engkau, aku sanggup jadi saksi”. Begitu juga “Jika Engkau (Allah) ingin saksi di kalangan manusia bahawa Muhammad itu adalah utusanMu, aku sanggup jadi saksiMu Ya Allah”. Persoalannya, sejauh mana kita mengenali Allah sebagai pencipta dan Tuhan yang layak disembah dan sejauh mana kita telah mengenali Nabi Muhammad SAW serta mengamalkan sunnahnya.Penyaksian ini bukanlah hanya dengan kata-kata malah disertakan dengan hati serta diterjemahkan melalui tindakan.

Buku ini lahir sebenarnya untuk memberikan panduan kepada mereka yang baru memeluk agama Islam. Ia bertindak sebagai garis panduan dan pedoman untuk menjadi muslim yang sejati. Ia juga bermanfaat kepada mereka yang sudah lama memeluk Islam tetapi sudah jauh menyepi dan ingin kembali ke pangkal jalan. Semoga buku ini memberikan sesuatu yang terbaik buat anda. Selamat membaca, memahami, menghayati dan seterusnya menterjemahkan dalam setiap tindakan.

No comments:

Post a Comment