Thursday, March 3, 2011

Allah is Calling

Allah is Calling
Penulis: Zainudin Hashim
Terbitan: Kemilau Publika
Harga: RM18.00

Sesungguhnya persoalan hidayah adalah tugas dan kerja Allah SWT, walaupun mungkin dari segi zahirnya seseorang itu kelihatan tidak beriman dan mungkin juga jelas menentang-Nya, namun dari segi batinnya tiada seorangpun yang tahu bahawa dia benar-benar cenderung dan suka kepada kebenaran, khususnya Islam, satu-satunya agama yang diperakui Allah SWT.

Bagi kita yang memang lahir daripada keluarga Islam, tidak mudah untuk menghukum seseorang terutama dari individu yang bukan Islam, bahawa mereka adalah ahli neraka dan pasti akan kekal menghuni di dalamnya. Tetapi persoalannya di sini, pernahkah kita berjumpa mereka dan berkata sesuatu mengenai Islam sebelum menjatuhkan apa-apa hukum terhadapnya sebelum mengatakan bahawa mereka memang ahli neraka.

Itulah kesilapan yang memang semulajadi ada pada diri kita yang memang suka menjatuhkan hukum kepada individu tertentu terutama di kalangan bukan Islam, malah ia jadi trend di kalangan kita. Sepatutnya kita sudah berubah menjangkau lebih daripada itu, iaitu menjadi golongan yang bersedia untuk memimpin mereka ke jalan selamat di dunia dan akhirat dengan menjadikan ‘Sirah Nabi Muhammad’ sebagai inspirasi untuk berdakwah.

Justeru, buku ‘Allah is Calling’ ini diharapkan menjadi sumber bacaan kepada kita untuk menilai semula apakah peranan yang telah kita laksanakan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini dengan menyeru seramai mungkin manusia ke jalan makruf dan meninggalkan jalan-jalan mungkar bertepatan dengan ikrar dan sumpahan kita dalam setiap solat fardu yang kita lakukan.

Sesungguhnya individu-idividu yang tercatat dalam buku ini adalah segelintir daripada mereka yang mendapat hidayah dan petunjuk dari Allah, walaupun mereka terdiri daripada bangsa yang jahat, dilaknat dan dibenci Allah iaitu Yahudi, namun terdapat di kalangan mereka sebenarnya yang cenderung dan minat kepada Islam, apapun ia bukan perkara mustahil bagi Allah SWT dan tidak tidak seorangpun yang mampu menghalangnya jika Dia mahu berbuat demikian.

Sejarah telah membuktikan bahawa Abdullah Bin Salam di zaman Rasulullah s.a.w., Ka’ab al-Ahbar dan Wahb Bin Munabbih juga adalah berketurunan Yahudi, tetapi mereka adalah segelintir Yahudi yang telah berjasa kepada perkembangan Islam dan mati kerananya.

No comments:

Post a Comment