Tuesday, May 3, 2016

Mungkinkah Ini Solat Terakhirmu?


Mungkinkah Ini Solat Terakhirmu? 
 Penulis: Syed Alwi Alatas 
 Terbitan: Galeri Ilmu 
 Harga: RM21.00 

 Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami untuk selalu menegakkan solat dengan penuh keikhlasan dan kekhusyukan. Dan berilah petunjuk kepada saudara-saudara kami yang belum lagi tergerak hatinya untuk tunduk sujud kepada-Mu. Masih ramai yang bersikap acuh tak acuh berkenaan solat, walhal ia adalah ibadah yang paling asas dan paling utama. Ia bukan suatu pilihan, ia suatu kewajipan. Ia adalah warisan agung. 

Namun, berapa ramaikah antara kita yang benar-benar menjaganya? Buku ini membenarkan sebuah hadis Nabi yang menyebutkan bahawa pada akhir zaman, solat akan menjadi sesuatu yang ditinggalkan. Rasulullah SAW bersabda: “Jika Islam dilucutkan, sekeping demi sekeping, orang-orang akan berpegang kuat pada perkara yang berikutnya. Perkara pertama yang akan hilang ialah pemerintahan dan kerajaan, dan yang terakhir ialah solat.” (Riwayat Ibnu Hibban) 

Kini kita boleh lihat betapa ramai manusia tidak bersolat. Ada yang pandai berbicara tentang hal-hal berkenaan agama, tapi tidak bersolat. Ada yang telefon pintarnya melaungkan azan setiap kali masuk waktu solat, tetapi dia sendiri tidak bersolat. Ada Muslimah yang pakai tudung, tapi tidak bersolat. Inilah yang cuba disingkap oleh penulis ... menjawab kepada persoalan mengapa orang Islam tidak mahu bersolat, sehingga keadaan ini melemahkan ummah. Walhal jika solat dijaga dengan penuh tanggungjawab dan amanah, umat Islam mampu berdiri teguh di tengah-tengah musuh Islam. 

Justeru, MUNGKINKAH INI SOLAT TERAKHIRMU? mengajak, menyeru dan memberi motivasi kepada pembaca untuk bangun mendirikan solat ... agar dengannya kita muncul dan berada kembali di tempat sewajarnya, iaitu sebagai umat terbaik.

No comments:

Post a Comment