Tuesday, March 29, 2011

Berubah Untuk Malaysia Baru (Di antara 1Malaysia, Negara Islam, dan Malaysian Malaysia)

Berubah Untuk Malaysia Baru (Di antara 1Malaysia, Negara Islam, dan Malaysian Malaysia)
Penulis: Rizuan Rahman
Terbitan: Media Bistari
Harga: RM10.00

Berubah Untuk Malaysia Baru diilhamkan dari pergelutan politik, sosial dan ekonomi semasa. Kebanyakan persoalan dalam hal-hal tersebut tidak terjawab dengan sempurna, sama ada analisis yang dilakukan dalam media massa mahupun oleh para ahli akademik di pusat pengajian tinggi.

Isu pergolakan politik antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, isu remaja yang semakin hilang jati diri, ekonomi bumiputera yang masih perlu dibantu biarpun selepas DEB 20 tahun tamat, ekonomi yang berlegar di kalangan elit tertentu sehinggalah infrastruktur yang dibina tidak mengikut keperluan rakyat dan hanya mementingkan keuntungan sesetengah pihak tidak pernah diberikan jawapan yang tepat oleh pemerintah mahu pun para pengkaji.

Dalam masa yang sama, Malaysia diberitakan akan menjadi negara maju dalam tempoh kurang 10 tahun dari sekarang. Jadi, bagaimanakah bentuk negara maju itu kelak. Sedangkan kadar kemiskinan masih tinggi tetapi dimanipulasi angkanya, kadar hak asasi manusia masih sederhana, kebebasan media, kebebasan IPT masih terbelenggu, generasi muda cenderung untuk meniru budaya barat secara total manakala dasar pelajaran pula masih kabur dalam menyediakan pemimpin masa hadapan.

Buku ini akan cuba menjawab secara jujur permasalahan tersebut dengan hujah yang jelas dan tepat. Semoga buku ini dapat menambah pemahaman rakyat Malaysia mengenai persoalan penting yang berlegar di sekeliling mereka menjelang 2020.

No comments:

Post a Comment