Tuesday, May 24, 2011

Anakku ‘Brain Tumour’

Anakku ‘Brain Tumour’
Penulis:Isyah Radhiah
Terbitan: Galeri Ilmu
Harga: RM25.00

Pada pertengahan 2010, mereka diduga Allah dengan penyakit yang digeruni yang dihidapi anak ketiga mereka, Ahmad Mahir Baihaqi atau nama panggilannya Aqi, yang ketika itu (pertengahan 2010) berumur 9 tahun.

Anak yang cergas sejak lahir itu mendapat sakit kepala yang berterusan dan muntah-muntah selama seminggu. Dia disahkan menghidap ketumbuhan otak (brain tumour) oleh Hospital Pakar Damansara. Maka bermulalah episod dugaan hidup yang terpaksa ditempuhi oleh isteri yang ketiadaan suami di sisi, iaitu tatkala Che Amran ke Australia selama 10 hari untuk pelancaran album Raihan.

Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Kebahagiaan dan kegembiraan bagaikan diragut. Perasaan berkecamuk berlegar di dalam diri. Benarkah anak ini menghidap penyakit bahaya yang menjadi igauan ngeri setiap insan? Kepulangan suami menjadi pengubat jiwa yang gundah. Namun, empat hari mereka dalam keadaan buntu, sambil tetap pasrah dengan ketentuan Ilahi dan redha dengan ketetapan-Nya.

Doktor pakar bertegas bahawa pembedahan perlu segera dibuat untuk mengelakkan tumor daripada membesar dan menyerang saraf penting di dalam otak. Berpindah ke hospital kerajaan dan kemudian berpatah balik ke hospital swasta adalah usaha yang dilakukan semata-mata kerana mahu memastikan pembedahan dilakukan segera ke atas Aqi. Namun masalah kewangan dan risiko yang akan dihadapi sekiranya pembedahan dijalankan, membuatkan mereka suami isteri dalam dilema.

Pandangan dan nasihat daripada kaum keluarga dan kenalan melalui telefon dan SMS, diambil sebagai pertimbangan. Biar apa pun, keputusan adalah di tangan mereka. Mereka sendirilah yang perlu memutuskan apa yang terbaik untuk anak mereka.

Perlukah pembedahan segera dilakukan atau patutkah ditangguhkan? Wajarkah mereka memilih rawatan alternatif untuk mengelak risiko daripada pembedahan? Wujudkah rawatan alternatif untuk penyakit berbahaya ini yang tidak memerlukan pembedahan? Sejauh mana kesannya?

Pertemuan dengan Kak Zah yang mempunyai anak dengan penyakit yang sama dengan Baihaqi telah membuat Isyah merenung dan berfikir dengan mendalam. Antara pesanan Kak Zah yang menusuk kalbu Isyah, “Kita perlu bergerak untuk anak seperti ini. Walaupun dia nampak dah stabil, kita tidak boleh berada di zon selesa.”

Walaupun anak Kak Zah sendiri telah menjalani pembedahan, dia menyarankan agar Isyah berusaha mendapatkan rawatan lain terlebih dahulu kerana Isyah masih mempunyai pilihan, berbanding dengan Kak Zah sebelum ini yang terdesak membuat keputusan kerana kesuntukan masa dalam membuat pilihan.

Pesanan ibunya juga membuatkan renungan Isyah makin dalam. “Sah, mak rasa elok kalau tangguh dulu perancangan pembedahan tu. Mak tak sedap hati kalau menyentuh bahagian kepala,” kata si ibu.

Berdasarkan pandangan majoriti ahli keluarga dan sahabat-handai, akhirnya Isyah dan Che Amran membuat keputusan. Ketika segala persiapan sudah dibuat oleh hospital pakar untuk menjalankan pembedahan ke atas Baihaqi, Che Amran menelefon doktor dan memaklumkan keputusan itu – meminta pembedahan ditangguhkan dan meminta izin untuk membawa keluar Baihaqi dari hospital.

Selepas itu bermulalah perjalanan mencari kaedah-kaedah rawatan alternatif yang diiringi dengan terapi solat, terapi doa, terapi al-Quran dan penjagaan pemakanan yang ketat untuk Baihaqi. Masih terngiang-ngiang kata-kata doktor sebelum ini, “Jangan mengharapkan sangat daripada anak ini, dia tidak akan hidup lama.”

Hikmah daripada apa yang berlaku, Isyah dan Che Amran semakin sedar akan tanggungjawab mereka dalam memenuhi amanah Allah menjaga dan mendidik anak-anak. Hubungan mereka suami isteri juga bertambah erat, manakala hubungan dengan kaum keluarga dan sahabat-handai tambah rapat.

Anakku ‘Brain Tumour’ adalah perkongsian pengalaman yang akan memberi motivasi ‘hidup’ kepada ibu bapa dan memberi harapan baru kepada mereka yang mempunyai anak yang senasib dengan Baihaqi. Lebih daripada itu, ia sebuah kembara rohani sepasang suami isteri dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah demi mencari keredhaan Tuhan.

No comments:

Post a Comment